Anda tentu pernah dengar tentang sentimen. Sama ada sentimen politik, sentimen pasaran, atau apa-apa juga yang berkaitan dengan mood sesuatu perkara. Dengan kata lain, secara umumnya, bila kita berbicara tentang sentimen pasaran atau pun sentimen risiko; kita berbicara tentang mood pasaran atau mood pelabur dalam mengambil risiko pada sesuatu masa. Bercerita tentang mood pula, secara umumnya ia adalah emosi yang mendorong pelabur membuat keputusan belian mahupun jualan.

Ada dua emosi penting dalam psikologi pasaran, iaitu tamak yang mendorong pelabur membeli aset yang lebih berisiko seperti saham; dan takut yang mendorong pelabur membeli aset yang kurang berisiko seperti bon. Dalam aset matawang pula, AUD, CAD dan NZD contohnya, dilihat lebih berisiko berbanding USD, CHF dan JPY. Insya ALLAH, saya akan cuba kupas tentang tahap risiko sesuatu matawang dalam artikel yang lain, kerana ada 180 jenis matawang yang digunakan di serata dunia dan Dolar sahaja mempunyai 22 jenis!

Dalam mengukur sentimen pasaran, ada tiga kaedah utama yang biasa digunakan oleh institusi pelaburan:

      1. posisi semasa dan “order flow” di pasaran tunai atau spot
      2. posisi semasa dan “order flow” di pasaran derivatif seperti niaga hadapan dan opsyen
      3. volatiliti pasaran

Terdapat juga institusi yang mencipta formula atau model mereka sendiri dalam mengukur sentimen, untuk mendapatkan bacaan yang lebih terperinci dan tepat dalam mencapai objektif kawalan risiko mereka.

Laporan Sentimen Harian

Laporan sentimen harian yang baru sahaja anda baca, dirumus dari pelbagai sumber pembekal kecairan, “Liquidity Providers” dan mengukur sentimen pasaran ketika London/New York ditutup. Selain emas dan minyak mentah, 8 matawang utama – USD, EUR, JPY, GBP, CHF, CAD, AUD, dan NZD – dipilih untuk dijadikan penanda aras sentimen pasaran matawang pada hari tersebut.

Ianya tidak berdasarkan kekuatan harga, trend atau bacaan teknikal, tetapi berdasarkan “supply and demand” serta “order flow” di pasaran utama.

Berikut adalah contoh sentimen harian ketika pasaran ditutup:

BUY NZD GBP CHF AUD JPY CAD EUR USD SELL

 

Cara Menggunakannya:

Oleh kerana sentimen harian ini mengukur minat belian dan jualan spekulator pada hari itu, maka ianya lebih berkesan untuk dagangan harian, atau “day trading”. Namun demikian, terdapat juga ‘swing trader’ yang menggunakannya untuk mengesahkan trend. Dalam contoh di atas, minat belian paling tinggi dilihat pada NZD, GBP dan CHF. Manakala minat jualan paling tinggi dilihat pada USD, EUR, dan CAD.

Dengan kata lain, dalam contoh di atas, NZD, GBP, dan CHF lebih banyak dibeli daripada dijual dan USD, EUR, dan CAD pula lebih banyak dijual daripada dibeli. Ia tidak bermaksud pelabur hanya membeli NZD dan tidak menjualnya lansung! kerana dagangan matawang yang bersifat dua hala.

Jadi pada hari berikutnya, dagangan yang lebih berkebarangkalian tinggi, “high probability”, adalah yang beza sentimenya sebanyak 5-6 blok. Dalam contoh di atas, berikut adalah rumusannya:

PASANGAN STRATEGI
NZD/USD BUY
GBP/USD BUY
EUR/NZD SELL

 

Dagangan dengan kebarangkalian sederhana, “medium probability”, adalah yang beza sentimenya sebanyak 3-4 blok. Dalam contoh di atas, berikut adalah rumusannya:

PASANGAN STRATEGI
EUR/GBP SELL
USD/CHF SELL
NZD/CAD BUY
AUD/USD BUY
NZD/JPY BUY
GBP/CAD BUY
EUR/CHF SELL

 

Bagi matawang yang beza sentimennya 1-2 blok, itu selalunya menunjukkan perubahan trend sedang berlaku dan wajar diberikan perhatian supaya tidak terlepas trade. Dalam contoh di atas, sentimen menyarankan belian untuk AUD/JPY, CHF/JPY dan GBP/JPY. Jadi anda boleh gunakan sentimen ini untuk mengesahkan “uptrend” pada carta anda untuk pasangan matawang tersebut. Dalam contoh lain pula, sentimen menyarankan jualan pada EUR/CAD, EUR/JPY dan EUR/AUD. Jadi anda boleh gunakan sentimen ini untuk mengesahkan “downtrend” pada carta anda juga.

Dengan kata lain, semakin jauh perbezaan sentimennya, semakin tinggi kebarangkalian untuk dagangan tersebut mencapai sasaran. Namun ini bukanlah suatu jaminan kerana pasaran yang bersifat dinamik dan boleh berubah secara tiba-tiba. Terutamanya apabila berlaku suatu peristiwa diluar jangkaan pasaran. Kerana itulah analisa fundamental dan teknikal masih perlu diambil kira sebelum membuat keputusan muktamad.

Saya harap artikel ini dapat membantu anda memahami analisa sentimen dan bagaimana menggunakannya dalam membuat keputusan dagangan.

 

NOTA:

Artikel ini hanyalah untuk tujuan pendidikan sahaja dan bukanlah satu nasihat kewangan. Ianya tidak mengambil kira faktor tahap risiko peribadi dan kesesuaian produk ini dengan anda. Anda hendaklah mendapatkan nasihat kewangan dari pakar yang bertauliah sebelum mengambil sebarang tindakan dari artikel ini. Penulis dan pemilik laman web ini tidak bertanggung-jawab atas sebarang kerugian yang mungkin timbul dari tindakan anda.