Ulasan Mingguan

Minggu ke-35 menyaksikan pasaran tertipu dengan kenyataan Presiden Trump bahawa China mahu berunding dan sebaliknya apa yang berlaku ialah China mengenakan cukai baru ke atas barangan import dari Amerika Syarikat. Indeks Dolar melonjak dan menutup di atas paras 98.80 dan kini sedang menguji paras psikologi 99 mata kesan dari aliran “safe-haven”. Dengan pasaran Amerika Utara yang tutup sempena cuti Hari Buruh, impak penuh pasaran “spot” tidak dapat dilihat sehingga Selasa.

Sentimen penurunan kadar faedah Feds masih tidak cukup untuk mengekang aliran “safe-haven” ke dalam Dolar, walaupun kini dana hadapan Feds meletakkan 97.3% kebarangkalian untuk satu penurunan bulan ini dan 82% kebarangkalian untuk satu lagi penurunan pada bulan Disember.

Pasaran hadapan secara keseluruhan (-0.37%) jatuh pada Jumaat lepas, dengan kejatuhan besar pada minyak/tenaga (-1.59%), bijirin (-1.21%) dan daging (-0.85%); sementara logam (+0.91%) dan bon/kewangan (+0.05%) mendapat lebihan permintaan.

Di pasaran hadapan matawang pula, Euro (-0.68%), Swiss (-0.35%) dan Pound (-0.20%) merudum sementara Dolar AS (+0.41%) dan Yen (+0.36%) memacu naik kesan dari aliran “safe-haven”. Pasaran masih meletakkan harapan dengan kebangkitan ekomomi negara membangun seperti Mexico apabila Peso (+0.61%) menutup tinggi.

Indeks “CNN Fear & Greed” menutup pada 23 mata yang nyata lebih baik dari 18 mata pada seminggu yang lalu; namun masih rendah dari 48 mata dan 73 mata, pada sebulan dan setahun yang lalu. Ini jelas menunjukkan sentimen pasaran yang terus berhati-hati dan penawaran dijangka terus menguasai pasaran berbanding permintaan untuk aset berisiko.

Kenyataan Presiden Amerika Syarikat yang mengatakan bahawa China mahukan rundingan dan kemudiannya China mengenakan cukai baru atas barangan import dari Amerika Syarikat mengelirukan pasaran. Dalam satu perkembangan terbaru, China memfailkan komplen kepada Organisasi Perdagangan Dunia (WTO) atas cukai import Amerika Syarikat yang melebihi had yang dibenarkan dalam persetujuan sebelum ini di Osaka.

Sehingga hari ini, prestasi tahunan pasaran saham utama berbanding minggu lepas adalah seperti berikut:

AS & Kanada – Nasdaq (+21.50%), S&P500 (+16.74%), Dow (+13.19%), TSX (+14.80%) Eropah – SMI (+17.77%), EuroStoxx (+14.36%), DAX (+13.21%), FTSE UK (+8.23%) Asia/Australia – Nikkei (+3.02%), HangSeng (-0.85%), KLCI (-4.64%), ASX (+16.52%)

** Angka untuk Nasdaq, S&P500, Dow dan TSX adalah sehingga Jumaat, lantaran pasaran Amerika Utara yang bercuti pada hari Isnin sempena Hari Buruh.

(Baca pandangan minggu ke-35 disini)

 

Pandangan Mingguan

Pasaran hadapan memberikan reaksi awal kepada kekeliruan pasaran yang berlaku pada minggu lepas dengan indeks utama Dow dan S&P500 membuka dengan “gap-down” pada hari Isnin. Pasaran “spot” yang tutup sempena Hari Buruh Amerika Utara dijangka akan mengikuti langkah tersebut pada Selasa. Lebih 290 ribu kontrak jualan untuk S&P500 dan lebih 50 ribu kontrak jualan untuk Dow dilaporkan di pasaran hadapan dalam suasana pasaran yang tipis hari ini.

Indeks Dolar yang menutup dengan “bulish hammer” untuk bulan Ogos, dilihat sebagai helah untuk mengelirukan pelabur lantaran pacuan naik yang disertai dengan kejatuhan “volume”. Paras psikologi 99 dan 98.50 mata dilihat sebagai paras kritikal untuk arah Dolar seterusnya.

Laporan kewangan suku kedua kini telah pun berakhir untuk kebanyakan syarikat-syarikat melainkan beberapa syarikat yang lewat dalam laporan mereka. Pelabur dijangka akan terus memberikan perhatian kepada saham-saham defensif dan industri baru yang berpotensi untuk menjana pulangan tinggi dalam jangka masa panjang.

Amerika Syarikat & Kanada

Dolar AS terus memacu naik kesan dari aliran “safe-haven” walaupun sentimen penurunan kadar faedah masih menguasai pasaran. Kadar faedah USD yang tertinggi dikalangan matawang G8 menjadikannya terus mendapat permintaan. Namun ia dijangka melemah minggu ini kesan dari sektor pekerjaan AS yang semakin menguncup. Angka NFP dijangka turun dari 164 ribu kepada 159 ribu pekerjaan dan indeks perkilangan dijangka sedikit lemah dari 51.2 kepada 51.1 mata, walaupun indeks perkhidmatan dijangka naik dari 53.7 kepada 54 mata.

Minggu ini bakal menjadi minggu yang penting untuk Dolar Kanada lantaran Bank Pusat Kanada yang dijangka mengekalkan kadar pada 1.75%. Sidang akhbar bersama Gabenor Stephen Poloz akan menjadi perhatian pelabur yang mahu mengetahui rancangan BoC selanjutnya. Spekulasi pasaran mengatakan BoC akan menurunkan kadar faedah sekali lagi pada tahun ini.

Eropah

Euro dan Pound hari ini terus tertekan dengan laporan indeks perkilangan yang terus jatuh di bawah 50 mata. Jerman melaporkan sedikit penurunan dari 43.6 kepada 43.5 mata sementara UK melaporkan penurunan dari 48 kepada 47.4 mata yang merupakan angka terburuk dalam masa 7 tahun. Pound dijangka terus lemah dengan indeks perkhidmatan yang dijangka turun dari 51.4 kepada 51 mata walaupun indeks pembinaan dijangka naik dari 45.3 kepada 45.9 mata.

Ketiadaan lebih banyak laporan berimpak tinggi dari Eropah dijangka akan terus melemahkan Euro dan sebarang lonjakan dilihat sebagai “short covering” dan juga pengambilan untung jualan.

Asia/Australia

Aussie dijangka mendapat permintaan dengan langkah Bank Pusat Australia yang dijangka mengekalkan kadar faedah pada 1.00% minggu ini dan juga laporan KDNK suku kedua yang dijangka mengembang dari 0.4% kepada 0.5%; walaupun jualan runcit dijangka menurun dari 0.4% kepada 0.2%.

Ketiadaan laporan berimpak tinggi dari New Zealand dan Jepun minggu ini, dijangka akan melemahkan Yen dan Kiwi, namun aliran “safe-haven” dilihat mampu mengekang kejatuhan nilai Yen.

Saham

Laporan kewangan suku kedua kini telah pun berakhir untuk kebanyakan syarikat-syarikat melainkan beberapa syarikat yang lewat dalam laporan mereka. Pelabur dijangka akan terus memberikan perhatian kepada saham-saham defensif dan industri baru yang berpotensi untuk menjana pulangan tinggi dalam jangka masa panjang.

Pelabur Amerika Syarikat dan Kanada dijangka berminat dengan saham-saham seperti Sanchez Midstream (SNMP), Washington Prime (WPG), Signet Jewelers (SIG), Nissan Motor (NSNMY), Preferred Apt (APTS), Jernigan Capital (JCAP), Norsk Hydro (NHYDY), Fierra Capital (FSZ), Auto Properties (APR) dan Pivot Tech (PTG).

Pelabur UK dan Eropah pula dijangka berminat dengan saham-saham seperti Deutsche Bank (DBK), EON SE (EON), Deutsche Telekom (DTE), Llyods Bank (LLOY), Vodafone (VOD), Centrica (CNA), Intesa (ISP), Santander (SAN), AccelorMittal (MT), Orange (ORA), AXA (AXA), Engie (ENGI), Intu Properties (INTU), Hansteen (HSTN), IGD (IGD), Banca IFIS (IF), Nebag (NBEN), BB Biotech (BION), Autoneum (AUTON), dan UBS (UBSG).

Pelabur Asia, termasuk Australia dan New Zealand dijangka memberi perhatian kepada saham-saham seperti SigmaPharma (SIG), TPG Telecom (TPM), Alumina (AWC), Eclipx (ECX), Ive (IGL), Bell Financial (BFG), Maoye (0843), Golden Wheel (1232), Jingrui (1862), Playmates (0635), Polytec Asset (0208), Sekisui House (1928), Space Value (1448), Midea Group (000333), Nusa Raya (NRCA), BFI Finance (BFIN), Mitra Pinasthika (MPMX), Samindo (MYOH), UPP Holdings (AVAR) Maxi Cash (MAXI), Overseas Education (OVER), Tong Herr (5010), HeveaBoard (5095), dan MAA (1198)

 

Selamat Berdagang dan Melabur!

 

NOTA:

Artikel ini hanyalah untuk tujuan pendidikan sahaja dan bukanlah satu nasihat kewangan. Ianya tidak mengambil kira faktor tahap risiko peribadi dan kesesuaian produk ini dengan anda. Anda hendaklah mendapatkan nasihat kewangan dari pakar yang bertauliah sebelum mengambil sebarang tindakan dari artikel ini. Penulis dan pemilik laman web ini tidak bertanggung-jawab atas sebarang kerugian yang mungkin timbul dari tindakan anda.