Ulasan Mingguan

Pasaran seakan kembali teruja selepas Setiausaha Perbendaharaan Amerika Syarikat mengumunkan bahawa AS dan China akan berunding semula pada 7 Oktober depan; namun pembatalan lawatan delegasi China ke ladang di Montana, AS pada saat-saat akhir menyebabkan pasaran saham hilang keyakinan dan kembali merudum. Indeks S&P500 menutup lemah di bawah paras terendah minggu ke-38, setelah pelabur jangka panjang keluar mengambil untung belian.

Ini menyebabkan Dolar kembali melonjak dan menutup di atas paras 99.00 mata pada minggu lepas. Laporan ekonomi AS yang juga masih baik turut meransang sokongan untuk Dolar dengan jualan rumah dan tempahan barangan tahan lama jauh lebih baik dari jangkaan pasaran. Laporan NFP minggu ini bakal menjadi penanda aras sekiranya pasaran bakal melihat satu lagi penurunan kadar faedah Feds untuk tahun ini.

Keseluruhan pasaran hadapan (+0.19%) menutup dengan positif pada Jumaat lepas, dengan pacuan diketuai oleh daging (+1.11%), tenaga/minyak (+0.44%) dan indeks saham (+0.44%); sementara bon/kewangan (-0.09%), logam (-0.06%) dan matawang (-0.02%) ketinggalan.

Di pasaran hadapan matawang pula, sentimen kelihatan terus optimis dengan Peso Mexico (+0.08%), Dolar AS (+0.07%) dan Dolar Kanada (+0.05%) memacu permintaan, sementara Swiss (-0.10%), Yen (-0.10%) dan Euro (-0.08%) hilang sokongan belian.

Namun begitu, Indeks “CNN Fear & Greed” menunjukkan sentimen pasaran secara keseluruhan masih pesimis, apabila ia menutup pada 52 mata berbanding 58 mata pada seminggu yang lalu. Walaupun ia menutup lebih tinggi dari sebulan dan setahun yang lalu, lonjakan ini masih dilihat sebagai sementara sahaja, lantaran isu kecairan yang masih berlaku di pasaran modal.

Sekali lagi pasaran modal dikejutkan dengan kenaikan mendadak kadar faedah semalaman antara bank di pasaran modal yang memaksa Feds AS memasuki pasaran dan membekalkan kecairan dana. Krisis kecairan yang berlaku ini mungkin memaksa Feds AS menurunkan kadar faedah sekali lagi pada tahun ini. Ketika ini pasaran dana Feds masih meletakkan kebarangkalian di bawah 50% (48.8%) untuk satu lagi penurunan pada Disember ini.

Sehingga hari ini, prestasi tahunan pasaran saham utama berbanding minggu lepas adalah seperti berikut:

AS & Kanada – Nasdaq (+22.22%), S&P500 (+18.81%), Dow (+15.61%), TSX (+16.56%) Eropah – SMI (+19.55%), EuroStoxx (+18.89%), DAX (+17.72%), FTSE UK (+10.14%) Asia/Australia – Nikkei (+8.70%), HangSeng (+0.95%), KLCI (-6.31%), ASX (+18.45%).

(Baca pandangan minggu ke-39 disini)

 

Pandangan Mingguan

Pasaran dijangka memberikan harapan kepada kejayaan rundingan dagang AS-China yang bakal bermula pada minggu hadapan; namun, ramai pengurus dana dijangka mengambil sikap yang lebih berhati-hati lantaran krisis kecairan yang berlaku di pasaran modal. Dalam pada itu, laporan KDNK UK yang lebih baik dari jangkaan pasaran pada hari ini, memberikan sedikit “optimism”; namun itu semua bakal berakhir sekiranya UK gagal mendapatkan tempoh lanjutan Brexit atau keluar dari EU tanpa sebarang perjanjian.

Hari terakhir suku ketiga 2019 dijangka hambar dengan “portfolio rebalancing” dan laporan NFP Jumaat ini boleh memberikan salah satu tanda aras baru untuk arah Dolar selanjutnya.

Amerika Syarikat & Kanada

Indeks S&P500 yang membuka dengan “gap-up” pada hari ini seakan memberikan “optimism” di pasaran saham, namun ramai penganalisis melihat kenaikan ini bakal digunakan oleh pelabur jangka panjang untuk mencairkan pegangan belian mereka. Krisis kecairan di pasaran modal mungkin memaksa dealer membuat lebih banyak “swaps” dengan instrumen kewangan yang lain, terutamanya aset alternatif seperti matawang krypto.

Laporan NFP bakal menjadi perhatian utama minggu ini dengan pasaran yang menjangkakan pertambahan sebanyak 145 ribu (130 ribu sebelumnya) pekerjaan kolar putih untuk bulan September. Agensi swasta ADP pula menjangkakan pertambahan sebanyak 140 ribu (195 ribu sebelumnya) sahaja dengan kadar penganguran dijangka stabil pada 3.7%.

Indeks perkilangan AS dijangka bertambah baik, naik dari 49.1 kepada 50.4 mata dan indeks perkhidmatan pula dijangka turun dari 56.4 kepada 55.1 mata. Dolar dijangka terus mendapat bidaan terutamanya dari pemegang akaun Yen dan Swiss.

Dolar Kanada dijangka terus terumbang-ambing dengan hanya pasaran komoditi minyak mentah untuk menyokongnya; dan juga indeks perniagaan IVEY yang dijangka melemah dari 60.6 kepada 58 mata.

Eropah

Pasaran Eropah sedikit teruja apabila laporan KDNK tahunan UK dilaporkan lebih baik dari jangkaan (1.3% berbanding 1.2%), namun ianya masih dibawah 2.1% pada sebelumnya dan ini membuatkan pasaran kembali meletakkan Brexit sebagai faktor utama dalam menilai Pound. Dalam pada itu, indeks perkilangan (47.4 kepada 47.0 mata) dan indeks perkhidmatan (50.6 kepada 50.3 mata) yang dijangka menurun turut menekan Pound.

Euro dijangka terus tertekan dengan laporan indeks perkilangan Jerman yang dijangka menurun dari 43.5 kepada 41.4 mata, walaupun inflasi tahunan Eropah dijangka stabil pada 1%.

Asia/Australia

Pasaran Asia dijangka memberikan perhatian kepada mesyuarat kadar faedah Bank Pusat Australia (RBA) yang dijangka menurunkan kadar kepada 0.75% dan ini dilihat bakal menekan Aussie, walaupun laporan jualan runcit yang lebih baik (naik dari -0.1% kepada 0.5%) dan aktiviti “short covering” dijangka dapat membantu mengapungkan matawang komoditi ini.

Yen dijangka terus lemah dengan laporan Tankan yang dijangka menurun. Indeks pekilang dijangka lemah dari 7 kepada 2 mata dan bukan pekilang juga dijangka lemah dari 23 kepada 20 mata. Sentimen pasaran melihat BoJ akan terpaksa melakukan satu lagi program ransangan untuk menjana ekonomi Jepun dalam masa terdekat, dan ini dijangka akan terus melemahkan Yen. Namun, sebarang perubahan sentimen dan risiko geopolitik yang boleh berubah pada bila-bila masa, dilihat akan terus memacu permintaan untuk Yen.

Saham

Pembayaran dividen diteruskan untuk minggu ke-empat dan ini dijangka menarik perhatian pelabur jangka panjang; disamping beberapa syarikat Asia/Australia dan Korea Selatan yang akan mula melaporkan pendapatan mereka untuk suku kedua. Saham-saham defensif, REIT dan aset “safe-haven” dijangka akan terus mendapat permintaan, disamping saham-saham dalam industri baru yang berpotensi.

Pelabur Amerika Syarikat dan Kanada dijangka berminat dengan saham dan ETF seperti Rivermouth (RIV), First Trust (FEI), Voya Asia (IAE), Voya Emerging (IHD), New Residential (NRZ), Core Civic (CXW), Energizer Holdings (ENR), Drive Shack (DS), Spark Energy (SPKEP), JSC MMC (NILSY), Domtar Corp (UFS), Frontera Energy (FEC), Bank of Nova Scotia (BNS) dan Versa Bank (VB).

Pelabur UK dan Eropah pula dijangka berminat dengan saham dan ETF seperti Hansard (HSD), Redde (REDD), Fulcrum (FCRM), XL Media (XLM), Cenkos (CNKS), Central Asia Metal (CAML), British American Tobacco (BATS), Octagonal (OCT), Hastings Group (HSTG), BSIF (BSIF), WPP (WPP), Schroder (SERE), Flowtech (FLOL), K3 Capital (K3C), Yew Grove (YEW), BMO UK (BHIB), British Land (BLND), Merchants (MRCH), Kingfisher (KGF), dan Shires Income (SHRS).

Pelabur Asia, termasuk Australia dan New Zealand dijangka memberi perhatian kepada saham-saham seperti Nufarm (NUF), Collins Foods (CKF), Hana Tour (039130), Hyundai Elevator (017800), Hanjin (002230), Softbank (9984), JX Holdings (5020), Nomura (8604), Petro China (0857), CNOOC (0883), WH Group (0288), Rimo International (RIMO), Armidian Karyatama (ARMY), Hanson (MYRX), Pool Advista (POOL), Mtronic (0043), Borneo Oil (7036), Iris (0010), VSolar (0066), Istone (0209), Scomies (7045), KNM (7164), Ikhmas (5268), dan MNC (0103)

 

Selamat Berdagang dan Melabur!

 

NOTA:

Artikel ini hanyalah untuk tujuan pendidikan sahaja dan bukanlah satu nasihat kewangan. Ianya tidak mengambil kira faktor tahap risiko peribadi dan kesesuaian produk ini dengan anda. Anda hendaklah mendapatkan nasihat kewangan dari pakar yang bertauliah sebelum mengambil sebarang tindakan dari artikel ini. Penulis dan pemilik laman web ini tidak bertanggung-jawab atas sebarang kerugian yang mungkin timbul dari tindakan anda.